Search This Blog

Thursday, September 29, 2011

Saat-Saat Paling "Neraka" Dalam Sejarah WWE Hell In A Cell

WWE Hell in a Cell (HIAC) telah mencatat fenomenanya yang tersendiri dengan menghidangkan kepada kita beberapa saat dan detik yang paling mendebarkan dalam industri gusti profesional. Darah merupakan salah satu elemaen wajib yang mesti ada sebelum bermulanya PG Era. Boleh kata setiap HIAC mesti akan ada darah yang membuak-buak  ibarat terusan Wan Mat Saman. Bukan sekadar darah, malah banyak lagi kejadian yang akan sentiasa diingati hingga bila-bila.

Ayuh kita imbau semula beberapa detik paling mencemaskan dalam sejarah Sangkar Neraka ini bersempena PPV Hell In A Cell yang bakal berlangsung pada 3 Oktober 2011 ini.


20. Undertaker meng"Super Chokeslam" Shawn Michaels di Badd Blood 1997

                        

Perlawanan pertama Hell In A Cell yang berlangsung di WWE. Saksikan pada minit ke 5:26. Menjadi titik tolak dan signifikan kepada bermulanya era keganasan di sangkar yang tidak mengenal erti belas kasihan ini.


19. Brock Lesnar meng"F5" Undertaker di No Mercy

                      

Brock Lesnar tidak memerlukan sebarang bantuan di dalam Taker's Yard ini dengan melakukan counter terhadap Tombstone dan seterusnya menghadiahkan F5 kepada The Phenom. Dan menang dengan bergaya.


18. Randy Orton melakukan "Table Splash" terhadap Undertaker

          

Di awal kemunculannya, Randy Orton adalah sangat gemar dengan top ropes. Satu splash berani dari Orton walaupun sedikit terkucil...


17. Triple H mem"Pedigree" Chris Jericho di atas sangkar.

           

Perlawanan ulangan semula selepas feud mereka di Wrestlemania X8. Triple H berjaya mengekalkan kejuaraan beliau dalam perlawanan ini.


16. Triple H mematahkan "sledgehammer" nya di atas badan bapak mertua kesayangan beliau, Vincent Kennedy McMahon.

                         

Sebuah pukulan yang sangat mengejutkan. Tambah-tambah lagi kepada majikan dan juga bapa mertua sendiri. Pakcik Vince memang sangat pandai "selling move".


15. Undertaker menggantung Big Boss Man

                       

Semasa zaman kegemilangan Ministry of Darknessnya. Perlawanan ini berlangsung di Wrestlemania 15. Walaubagaimanapun, Big Boss Man tidaklah mati dalam perlawanan ini seperti yang didakwa sesetengah pihak.


14. Mankind mendarat atas meja pengulas akibat dihumban Kane

                 

Walaupun tidaklah seepik seperti jatuhannya di King Of The Ring, tetapi saat bertarung dengan Kane ini juga sesuatu yang tidak boleh kita ketepikan.


13. Cactus Jack jatuh di atas meja pengulas di No Way Out.

                       

Juga terhuman dari puncak sangkar. Ini merupakan jatuhan buat kali pertama bagi Cactus Jack, tetapi ianya adalah kali ketiga buat lelaki bernama Mick Foley. Tak tau la macam mana beliau masih lagi hidup sampai sekarang.


12. Kane mengoyak pintu sangkar dengan selambanya.

 
          

Saat penampilan Kane buat pertama kali. Ternyata ianya sangat mengujakan...


11. Shawn Michaels mendarat di meja pengulas.

      

Sebelum Mick Foley, Shawn Michaels terlebih dahulu telah merasmikan meja ini di Badd Blood 1997.


10. Shawn Michaels melakukan jatuhan siku kepada Shane McMahon.

                    

Anak beranak McMahon memang sangat dedikasi. Dengan kepala tersepit dalam kerusi lipat. Kalau lah kita mampu melakukan perkara yang sama terhadap bos dan anak bos kita kan..hehe.


9. Batista menghadiahkan "Bantingan Peledak" Meja Kepada Undertaker

                        

Feud mereka yang berlarutan pada tahun 2007 dahulu hingga membawa ke perlawanan Sangkar Neraka. Bantingan peledak meja ini biasa sahaja. Tapi oleh kerana ia dilakukan dalam sangkar, menyebabkan ia sangat berimpak tinggi.

8. Undertaker melakukan "Pacak Nisan" di atas tangga besi kepada Batista di Survivor Series 2007.

                       
Walaupun telah dihadiahkan dengan gerakan maut Underaker ini, di atas tangga pula tu, Batista masih mampu menggapai kemenangan. Sesuatu yang mengagumkan.


7. Shawn Michaels melayangkan sikunya ke atas meja yang dibaringi oleh Triple H

                     

2 sahabat baik ini memang sentiasa akan menghidangkan sesuatu yang epik bilamana mereka bertemu di gelanggang. Perlawanan ini berlangsung di Badd Blood 2002 kalau tak silap.


6. Undertaker mencekak banting Edge hingga terperosok masuk ke dalam kanvas.

              

Edge di hantar terus ke "Neraka" oleh Undertaker di SummerSlam 2008. Sangat mengujakan.


5. Undertaker mencekak banting Mankind atas paku tekan.

                     

Undertaker memang kejam dan langsung tiada belas kasihan. Ternyata perlawanan ini di King Of The Ring ini berjaya menjadi lambang keganasan Sangkar Neraka.


4. Undertaker mencekak banting Rikishi dari puncak gelanggang lalu terus menjunam jatuh ke bawah.

                     

Tidak dapat dinafikan yang choke slam merupakan satu gerakan yang sangat berbahaya ketika berlangsungnya perlawanan sangkar neraka ini. Nasib baik ada lori jerami kat bawah tu. Kalau tidak, hmmmm....


3. Cactus Jack jatuh dari puncak sangkar dan menjunam hingga terperosok ke dalam kanvas.

           

Cactus Jack mengulangi sejarah Mankind di No Way Out 2000. Kali ni kurang lazat sikit je sepertimana di King Of The Ring 2000.


2. Undertaker mencekak banting Mankind melalui puncak sangkar.

                      

Kekejaman Undertaker memang sangat sukar dibendung. Padahal Mankind baru saja nak pulih selepas mendarat atas meja pengulas. Dan misterinya, Mick Foley masih mampu berdiri dan berjalan sendiri. Pakai jin ke hape mamat ni.

1. Undertaker dan Mankind di HELL ON A CELL

                    

Saat terhebat dalam sejarah HIAC. Tapi HOAC (Hell On A Cell) lebih mengerikan. Mankind dibaling dengan selambanya oleh Undertaker terus ke bawah. EPIC!!!


Begitulah antara saat-saat "indah" HIAC yang masih kekal dalam ingatan kita. Semoga akan ada lagi moment-moment hebat seperti ini lagi di acara ini pada masa akan datang.


Wednesday, June 29, 2011

"Work Shoot" Terbaik Dalam Sejarah WWE...

"Shoot" promo yang dilakukan oleh CM Punk di siaran Raw 27 Jun benar-benar mengejutkan peminat gusti profesional. Tiada siapa menyangka yang Punk akan sebegitu berani memperkatakan sesuatu yang menjadi "pantang besar" di WWE. Walau apapun spekulasinya (sama ada ianya dirancang lebih awal atau tidak,) sebenarnya ini bukanlah kali pertama adegan seperti ini terjadi di WWE. Mari kita imbau kembali beberapa "work shoot" hebat yang pernah berlaku di syarikat gergasi ini.

1. Bret Hart naik hantu, dan memanggil Vince McMahon bersemuka dengannya.






Pada ketika ini, Vince McMahon belum lagi di"umum"kan sebagai pemilik WWE dan beliau masih menjalankan tugas sebagai pengulas "play by play" di siaran WWE. Bret telah mengamuk kerana beliau telah disabotaj dalam perlawanan perlawanan Kejuaraan WWE nya. Vince McMahon ternyata agak terkesima dengan perilaku Bret ini dan ini merupakan sebab mengapa Bret bertukar menjadi watak jahat di Wrestlemania 13 ketika menentang Stone Cold Steve Austin.


2. Jim Ross bertukar menjadi "jahat" dan meluahkan perasaannya tanpa segan silu.



Pada ketika ini, Jim Ross ternyata tidak dapat menyembunyikan lagi kekecewaannya kerana tidak mendapat layanan yang sepatutnya daripada WWE. JR telah bangun dari meja pengulas dan telah menyalahkan Vince McMahon kerana mengabaikan kebajikan pekerjanya dengan jadual kerja yang sangat padat hingga pekerja tidak dapat meluangkan masa dengan keluarga. JR yang pada waktu ini sedang "bertarung" dengan penyakit saraf Bell's Palsy turut menyelar Vince McMahon yang tidak menggunakan beliau dengan sepenuhnya dengan memberi watak jahat memperkenalkan Razor Ramon dan Diesel palsu. "Heel" JR ternyata tidak mengambil masa yang lama akibat Vince McMahon berasa sangat terdesak lantaran kalah rating dengan WCW ketika itu.


3. Joey Styles "berhenti" dari WWE, dan menyertai Paul Heyman di ECW.




Bekas pengulas ECW dan WWE, Joey Styles telah mencipta sejarah dengan melakukan "shoot" promo dengan meninggalkan Raw untuk menyertai brand ECWWE.

Joey meluahkan kekecewaannya kerana kekangan yang dihadapi dalam memberikan ulasan terbaik dalam setiap perlawanan yang diulasnya. Styles ternyata tidak bersetuju dengan elemen "sport entertainment" kerana ianya bukan "wrestling" sepertimana yang dilakukan di ECW dulu. satu promo yang sangat hebat. OMAIGODDDDD!!!!!


4. Paul Heyman "menyerang" WWE di gelanggangnya.





Paul Heyman meluahkan kekecewaanya kepada WWE di acara ECW One Night Stand 2005. Banyak perkara yang beliau "pangkah". Mungkin Heyman telah menjangkakan yang ECW bakal dikebumikan oleh WWE sedikit masa lagi. Apapun, ianya promo terbaik yang membuatkan para peminat ECW menjerit keriangan...

Sunday, April 24, 2011

DRAF PERLEMBAGAAN DAN UNDANG-UNDANG TUBUH KELAB PGM

This post was published to Dari Gelanggang PGM... at 12:12:02 PM 4/25/2011










PERTUBUHAN


Kelab Peminat Gusti Malaysia


Atau nama singkatannya


KELAB PGM


UNDANG-UNDANG TUBUH BAGI PERTUBUHAN


KELAB PEMINAT GUSTI MALAYSIA

KANDUNGAN








UNDANG-UNDANG TUBUH BAGI


KELAB PEMINAT GUSTI MALAYSIA


(1)      Pertubuhan ini dikenali dengan nama  KELAB PEMINAT GUSTI MALAYSIA dan nama singkatannya KELAB PGM.
                           Selepas ini disebut Pertubuhan.


(1)      Alamat berdaftar dan tempat urusan Pertubuhan ialah
NO. 17,
JALAN SERI EMAS 7
TAMAN SERI TELOK MAS
75460      

dan alamat untuk surat menyurat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa ialah:
NO.17
JALAN SERI EMAS 7
TAMAN SERI TELOK MAS
75460      

Tempat urusan berdaftar Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.


(1)  Rupabentuk serta maksud dan/atau ciri-ciri bagi Bendera dan/atau Lambang dan/atau Lencana Pertubuhan adalah seperti di LAMPIRAN 1 Undang-Undang Tubuh Ini.

(2)  Penggunaan Bendera, Lambang dan Lencana Pertubuhan adalah untuk kegunaan rasmi sahaja.

(3)  Sebarang penggunaan Bendera atau Lambang atau Lencana Pertubuhan oleh pihak ketiga atau ahli Pertubuhan perlulah mendapat keizinan bertulis daripada Jawatankuasa.

(4)  Jawatankuasa berhak untuk menetapkan apa-apa kaedah termasuk bayaran bagi menggunakan Bendera, Lambang, Lencana Pertubuhan.



(1)  Tujuan Pertubuhan ini ditubuhkan adalah untuk  dan satu usaha mengumpulkan para peminat gusti profesional di seluruh Malaysia.

(2)  Matlamat Pertubuhan ini adalah:-

a.   membela serta menjaga kepentingan, kebajikan dan memajukan ahli;
b.   memupuk semangat perpaduan, kemesraan, saling berkerjasama selain mengeratkan perhubungan muhibbah di kalangan ahli-ahli khususnya dan masyarakat amnya melalui penganjuran dan penyertaan pelbagai kegiatan-kegiatan yang berfaedah;
c.         memberikan sumbangan dan perkhidmatan berteraskan amal kepada para ahli dan masyarakat amnya ;
d.   memberikan pendidikan dan latihan bagi meningkatkan sahsiah ahli;
e.   mengadakan dan menjalinkan hubungan dengan persatuan dan/atau pertubuhan lain bagi mengadakan kerjasama demi kepentingan ahli-ahli.
f.    menyediakan satu ruang kepada para peminat gusti di malaysia bagi berkongsi minat yang sama dan saling bertukar idea bagi membangunkan sebuah komuniti peminat yang disegani;
g    mengubah persepsi negatif masyarakat tentang keburukan sukan gusti profesional kepada sesuatu yang lebih bermanfaat dan mencertus semangat kekitaan sesama ahli


(1)      Bagi menjadi ahli kepada Pertubuhan ini, maka kelayakan serta syarat keahlian adalah seperti berikut:-

a.    Hendaklah warganegara Malaysia;
b.    Berumur lapan belas (18) tahun dan ke atas
c.    Terbuka kepada semua jantina;
d.    Terbuka kepada semua pegangan agama/kepercayaan;
e.    Terbuka kepada semua kaum;
f.      Tiada had ke atas pertalian kekeluargaan;;
g.    Tiada sekatan tempat tinggal;
h.    Tiada had bilangan ahli;


(2)      Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadang dan disokong oleh 2 orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

(3)      Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran bulanan pertama yang ditetapkan diterima menjadi ahli Pertubuhan dan berhaklah ia menjadi ahli.

(1)      Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:
Bayaran Masuk RM 2.00  (Ringgit Malaysia       Sahaja)

Yuran  RM  1.00  (Ringgit Malaysia       Sahaja)

(2)      Yuran bulanan jika ada hendaklah dijelaskan kepada Bendahari dalam tempoh 10 hari dari awal tiap-tiap bulan atau ditetapkan oleh Jawatankuasa dari masa ke semasa.

(3)      Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua bulan akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh Bendahari atau wakilnya, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya dijelaskan.

(4)      Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih daripada jumlah yuran bagi tiga bulan atau tahunan (yang mana lebih tinggi) dengan sendirinya digantung daripada menjadi ahli Pertubuhan ini dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima penyata berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

(5)      Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang atau dipecat dengan jumlah tidak kurang dari sekali ganda Bayaran Masuk serta telah melangsaikan hutangnya dengan Pertubuhan.

(6)      Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan Mesyuarat Agung. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar yuran atau kutipan wang tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka yuran atau kutipan wang itu akan terhutang olehnya kepada Pertubuhan.


(1)      Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua(2) minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan melunaskan segala hutangnya.

(2)      Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Pertubuhan atau telah bertindak dengan cara yang mencemarkan nama baik pertubuhan boleh digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagai mana yang difikirkan munasabah atau dipecat oleh Jawatankuasa.

(3)      Sebelum sebarang tindakan yang akan menyentuh keahlian Ahli berkenaan, maka hendaklah Jawatankuasa mengemukakan kepadanya surat tunjuk sebab mengapa tindakan tatatertib tidak boleh diambil ke atasnya. Surat berkenaan dihantar kepada alamat terakhirnya di dalam daftar ahli. Sekiranya jawapan bertulis diterima daripadanya dalam tempoh 14 hari daripada tarikh dia menerimanya, maka dia hendaklah diberikan peluang untuk membela diri secara bersemuka dengan Jawatankuasa.

(4)      Jawatankuasa hendaklah menimbangkan alasan-alasan yang diberikan olehnya sebelum membuat keputusan sama ada mendenda, menggantung keahliannya atau memecatnya. Keputusan Jawatankuasa hendaklah dimaklumkan kepadanya secara bertulis kepada alamat dalam daftar ahli. Keputusan Jawatankuasa ini bolehlah dirayu oleh ahli melalui usul dalam Mesyuarat Agung terdekat.

(5)      Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung meminda atau membatalkan keputusan Jawatankuasa.


(1)      Pengelolaan pertubuhan ini adalah tertakluk kepada keputusan Mesyuarat Agung. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan korum untuk mesyuarat.

(2)      Jika korum tidak dipenuhi selepas setengah jam(30 minit) daripada waktu yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh lain, iaitu tidak lebih daripada 30 hari dari tarikh mesyuarat tertangguh itu, yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa.

(3)      Sekiranya korum tidak cukup selepas setengah jam(30 minit) daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu,  maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Pertubuhan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

(4)      Mesyuarat Agung Tahunan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak melewati enam(6) bulan daripada tarikh kewangan Pertubuhan berakhir.

(5)      Tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agung tahunan ialah:

(a)      menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Pertubuhan di dalam tahun lalu;
(b)      menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;
(c)      memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan Pemeriksa Kira-Kira dan Pemegang Amanah untuk tahun akan datang (jika ada);
(d)      Membahaskan Usul Rayuan Keahlian yang digantung atau dipecat;
(e)      Membahaskan, menerima atau menolak Usul-usul ahli-ahli; dan
(f)        menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

(6)      Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya lima belas(15) hari sebelum tarikh dan masa Mesyuarat Agung Tahunan itu diadakan, satu naskah Agenda Mesyuarat yang antara lain mengandungi termasuklah:
(a)      Surat Peringatan Mesyuarat;
(b)      Laporan Kegiatan Pertubuhan;
(c)      Laporan Jawatankuasa Pertubuhan;
(d)      Penyata Kira-kira Pertubuhan teraudit bagi tahun lalu;
(e)      Surat Pemberitahuan Usul; dan
(f)        Lain-lain perkara berkaitan dengan mesyuarat agung.

Satu Salinan Agenda Mesyuarat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dirujuk oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Pertubuhan.

(7)      Mana-mana ahli yang ingin mengemukakan usul untuk dibahaskan semasa Mesyuarat Agung hendaklah dia mengemukakan secara bertulis kepada Setiausaha tidak lewat daripada tujuh(7) hari(termasuk hari penyampaian) daripada tarikh Mesyuarat Agung itu akan diadakan.  Apabila menerima pernyataan bertulis usul berkenaan, Setiausaha hendaklah memasukkannya dalam mesyuarat agung berkenaan untuk dibahaskan oleh para ahli semasa Mesyuarat Agung itu berlangsung. Usul yang dibahaskan dan diundi hendaklah gugur sekiranya ianya ditolak oleh para ahli mesyuarat melalui undi terbanyak menolaknya atau undi sama banyak.

(8)      Mesyuarat Agung khas bagi pertubuhan ini boleh diadakan:
(a)      bila difikirkan mustahak oleh jawatankuasa, atau
(b)      atas permintaan para ahli secara bertulis oleh tidak kurang daripada satu perlima (1/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan ini hendaklah dihantar kepada Setiausaha Pertubuhan.

(9)      Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh tiga puluh(30) hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

(10)    Tertakluk kepada Fasal 7, Agenda Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya lima belas(15) hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

(11)    Fasal 8 (1) dan 8 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah terbatal dan dalam tempoh  enam(6) bulan dari tarikh terbatalnya mesyuarat agung khas itu, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

(12)    Pengerusi Mesyuarat Agung hendaklah dipilih diantara kalangan ahli sebelum sesuatu Mesyuarat Agung itu dilangsungkan. Pengerusi Mesyuarat boleh mengundi semasa undian dijalankan dan tiada undi pemutus.

(13)    Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf Minit Mesyuarat Agung dalam tempoh dua puluh satu(21) hari setelah selesainya mesyuarat itu.

(14)    Setiausaha hendaklah dalam masa enam puluh(60) hari daripada tarikh Mesyuarat Agung diadakan mengirimkan Penyata Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Akta Pertubuhan.


(1)      (a)     Satu Jawatankuasa yang dinamakan Pegawai-pegawai Pertubuhan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan dari kalangan ahli Pertubuhan:
                                    Seorang Yang Dipertua
                                    Seorang Setiausaha
                                    Seorang Bendahari
                                     orang Ahli Jawatankuasa

(b)  Pertubuhan boleh juga memilih dari kalangan ahlinya dalam Mesyuarat Agung Tahunan tersebut mengikut keperluannya Pegawai-Pegawai Pertubuhan tambahan yang terdiri daripada:
i.              Timbalan DiPertua;
ii.             1 Naib Dipertua;
iii.            1 Penolong Setiausaha;
iv.           1 Penolong Bendahari;

(2)      Pemegang-pemegang jawatan Pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Pertubuhan ini hendaklah terdiri daripada Warganegara Malaysia.

(3)      Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Tempoh memegang jawatan bagi Pegawai yang dipilih adalah selama  Semua pegawai boleh dipilih semula apabila tamat tempoh jawatannya tidak lebih dari dua tempoh/penggal jawatan berturut-turut bagi jawatan yang sama.

(4)      Fungsi Jawatankuasa ialah
(a)  mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan; dan
(b)  membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Pertubuhan mengikut dasar yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung;

Jawatankuasa tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mensyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya bagi tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

(5)      Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tiga(3) bulan. Pemberitahuan bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli Jawatankuasa tujuh(7) hari terlebih dahulu. Yang Dipertua dengan bersendirian atau tidak kurang daripada dua(2) orang Pegawai Pertubuhan bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Korum Mesyuarat Jawatankuasa adalah setengah (1/2) daripada bilangan Jawtankuasa Pertubuhan.

(6)      Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan daripada ahli-ahli jawatankuasa secara edaran, Minit Mesyuarat Edaran. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

(a)  Masalah yang dibangkitkan serta keputusan yang disyorkan itu hendaklah dibutirkan dengan jelas di dalam minit mesyuarat edaran yang diedarkan kepada setiap ahli Jawatankuasa;
(b)  Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan secara bertulis mereka terhadap cadangan keputusan itu; dan
(c)  Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Tiada undi pemutus. Sebarang keputusan yang diperolehi melalui minit mesyuarat edaran hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada Mesyuarat Jawatankuasa berikutnya dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

(7)      Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang dapat diterima oleh Jawatankuasa, hendaklah disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

(8)      Jika seorang Pegawai Pertubuhan meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan terdekat diadakan.

(9)      Jawatankuasa boleh memberi perintah kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan-urusan Pertubuhan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, ingkar menjalankan keputusan Jawatankuasa atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.

(10)    Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa atau ahli.


(1)      Yang Dipertua, dalam tempoh memegang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Beliau tidak mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani minit mesyuarat bila telah diluluskan dan disahkan. Beliau hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari.

(2)      Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Pertubuhan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa. Beliau hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Beliau hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Bendahari.

Beliau bertanggungjawab  serta menguruskan:
a.    termasuk mengendalikan urusan surat menyurat dan fail Pertubuhan;
b.    menyimpan Daftar Minit dan Cabutan Minit Mesyuarat dan semua rekod berkaitan notis, catatan perjalanan mesyuarat dan sebagainya.
c.    tidak terhad hanya kepada menyimpan semua buku, surat dan kertas kerja, naskah perundangan, kontrak/perjanjian kecuali akaun dan buku-buku berkaitan kewangan;
d.    hendaklah menyimpan serta mengemaskini buku daftar ahli yang mengandungi butiran seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat perhubungan dan tetap;
e.    meterai Pertubuhan.

(3)      Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan dan harta Pertubuhan. Beliau hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara berkenaan dengan harta dan kewangan termasuk resit dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Beliau hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Setiausaha.

(4)      Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan oleh Jawatankuasa terhadapnya.

(5)      Pegawai-pegawai tambahan hendaklah membantu Pegawai-Pegawai Pertubuhan menjalankan kerja-kerja yang ditetapkan oleh Jawatankuasa serta memangku jawatan itu semasa ketiadaan Pegawai-pegawai berkenaan.

(6)      Mana-mana tindakan yang dibuat oleh Jawatakuasa hendaklah secara suci hati dan demi kepentingan tujuan dan matlamat pertubuhan. Tindakan berkenaan adalah tanggunggan secara bersesama melainkan dapat dibuktikan sebaliknya. Pertubuhan akan menanggung dan melepaskan Jawatankuasa daripada apa-apa tanggungan jika tindakan yang dilakukan oleh Jawatankuasa adalah suci hati dan demi kepentingan tujua dan matlamat Pertubuhan.


(1)      Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan dalam undang-undang ini, wang Pertubuhan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

(2)      Bendahari dibenarkan menyimpan wang tunai tidak lebih daripada RM1000.00 (Ringgit Malaysia Seribu Sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam akaun bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Akaun bank itu hendaklah di atas nama Pertubuhan.

(3)      Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada Pertubuhan hendaklah ditandatangan secara bersama oleh Yang Dipertua, Setiausaha dan Bendahari. Sekiranya berlaku kekosongan penjawat bagi jawatan Yang Dipertua atau Setiausaha atau Bendahari maka Jawatankuasa bolehlah melantik di kalangan mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Pertubuhan.

(4)      Perbelanjaan/Pembayaran yang melebihi RM1000.00 (Ringgit Malaysia Seribu Sahaja) dalam sesuatu masa hendaklah dibayar setelah mendapat kelulusan oleh Jawatankuasa terlebih dahulu. Kebenaran Mesyuarat Agung hendaklah diperolehi terlebih dahulu sebelum perbelanjaan yang lebih daripada RM5000.00 (Ringgit Malaysia Lima Ribu Sahaja)  bagi sesuatu masa dilakukan. Perbelanjaan yang kurang daripada RM1000.00 (Ringgit Malaysia Seribu Sahaja)  bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Yang Dipertua bersama Setiausaha dan Bendahari.

(5)      Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira yang dilantik di bawah Fasal 12 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di alamat tempat urusan Pertubuhan.

(6)      Tahun kewangan Pertubuhan ini adalah setahun bermula dari  dan berakhir dua belas bulan berikutnya.


(1)      Dua orang yang bukannya Pegawai Pertubuhan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.

(2)      Pemeriksa Kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Pertubuhan bagi tempoh tahun kewangan beliau dipilih dan membuat laporan kepada Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Yang Dipertua mengaudit kira-kira Pertubuhan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.



(2)      Harta berkenaan boleh dipajak, dicagar, disewa, dijual dengan apa-apa balasan yang munasabah oleh Jawatankuasa.

(3)      Mana-mana harta hendaklah didaftarkan atas nama Pertubuhan melainkan terdapat peruntukan atau syarat yang menghalang atau menyekatnya, maka harta berkenaan bolehlah diamanahkan kepada Pemegang Amanah.

(4)      Mana-mana harta yang hendak dilupuskan, dijual dan/atau dicagar hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan Mesyuarat Agung.

(5)      Jawatankuasa hendaklah menetapkan kaedah-kedah pengurusan harta berkenaan. Bagi urusan suratcara semua harta Pertubuhan hendaklah disempurnakan oleh Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari dan dipersaksikan oleh dua anggota Jawatankuasa dan dimeterikan dengan meterai Pertubuhan.

(6)       orang Pemegang Amanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung jika perlu, dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Pertubuhan. Semua harta tetap kepunyaan Pertubuhan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust). Mana-mana harta Pertubuhan yang diletakkan atas nama Pemegang Amanah hendaklah kepunyaan dan milikan Pertubuhan walaupun tiada Surat Amanah. Semua belanja yang terlibat dalam mengurus dan mentadbir harta berkenaan termasuklah pembayaran sagu hati hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh Pertubuhan.

(7)      Pertubuhan hendaklah melepaskan Pemegang Amanah apa-apa tanggungan berkaitan dengan harta yang dipegang secara Amanah olehnya.

(8)      Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hak milik harta kepunyaan Pertubuhan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Pertubuhan.

(9)      Seseorang Pemegang Amanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana lain sebab yang mengakibatkan ia tidak boleh menjalankan tugas-tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pemecatan seseorang Pemegang Amanah maka kekosongan itu boleh dipenuhkan oleh Pemegang Amanah yang baru yang dilantik di dalam Mesyuarat Agung. 


(1)      Di antara berlansungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang.

(2)      Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.


                  Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, bagi suatu tempoh tertentu melantik mana-mana orang yang layak menjadi Penaung dan/atau Penasihat-penasihat bagi Pertubuhan ini dengan syarat orang-orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.



(1)      Sebarang bentuk judi dan permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam tempat urusan Pertubuhan atau dianjurkan oleh Pertubuhan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game dan semua permainan yang bergantung kepada nasib;

(2)      Pertubuhan atau ahli-ahlinya dilarang dan ditegah menghalang dan/atau dengan apa jua sekalipun cara mengganggu perniagaan atau harga barang-barang.

(3)      Pertubuhan dilarang dan ditegah daripada mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definisi dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959;

(4)      Pertubuhan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan;

(5)      “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Pertubuhan kepada mana-mana ahlinya.

(6)      Mana-mana pertelingkahan, pertikaian atau kilanan sesama ahli dan/atau Jawatankuasa hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada seorang Pengantara bagi mengurai dan menyelesaikan kilanan atau ketidakpuashatian berkenaan sebelum dirujuk kepada Pendaftar Pertubuhan dan/atau Mahkamah.

(7)      Sekiranya Pengantara berpuashati bahawa beliau tidak dapat menyelesaikannya, maka barulah pihak-pihak yang berkenaan boleh merujuk kepada Perdaftar Pertubuhan dan/atau Mahkamah. Keputusan Pengantara adalah muktamad dan hendaklah terikat kepada setiap pihak yang terlibat dalam kilanan atau pertikaian atau pertelingkahan. Perbelanjaan ini hendaklah ditanggung oleh Pertubuhan dan pihak-pihak yang terbabit secara sama rata.

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa enam puluh(60) hari daripada tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan.



(1)      Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga per lima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.

(2)      Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.

(3)      Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu berkuatkuasa.






     
Setiausaha





     
Yang Dipertua
                                                                                                                                       

Undang-Undang Tubuh Ini berkuatkuasa mulai   ??   .