Search This Blog

Friday, October 22, 2010

Ramalan Bragging Rights-Menyelusuri Sejarah Persengketaan Kane - Undertaker



Mark Calaway dan Glenn Jacobs.
Kita semua mengenali mereka sebagai Undertaker and Kane, The Brothers of Destruction.
Setelah digabungkan, The Phenom dan The Big Red Machine telah memenangi World Heavyweight Championship sebanyak 4 kali dan WWE Championship sebanyak 5 kali.

Pabila mereka bersama, dalam satu pasukan, tiada siapa dapat menghentikan mereka.
Walau bagaimanapun, separuh daripada kisah penyatuan mereka berdua di WWE,  The Undertaker dan "adiknya" Kane merupakan seteru yang hebat.

Pada pagi Isnin ini di WWE Bragging Rights (2010), mungkin kita sama-sama bakal menyaksikan berakhirnya era Brothers of Destruction.

Salah seorang daripada mereka akan membayar pengorbanan paling mahal dengan akan ditanam hidup-hidup sedalam 6 kaki. (Ada yang volunteer nak baca talkin tak?)

Dan mari kita sama-sama mengimbau kembali sejarah perbalahan epik mereka sepanjang 13 tahun ini.

1) Bad Blood 1997: Kemunculan "Little Brother"




Kane telah diperkenalkan sebagai adik The Undertaker semasa perlawanan utama Hell In A Cell di antara Undertaker dan Shawn Michaels, di mana pemenangnya akan berpeluang mencabar Bret Hart bagi WWE Championship di Survivor Series 1997.

Kane telah "membantu" Shawn Michaels mengalahkan Undertaker, dengan melakukan tombstone piledriver kepada abangnya yang sedang terkesima, dan membolehkan Shawn Michaels melakukan tindanan pin bersih ke atas Undertaker.

Bukan sahaja ianya menampilkan Kane buat kali pertama, tetapi ini juga merupakan perlawanan pertama Hell In A Cell dalam sejarah WWE.

2) Royal Rumble 1998 : Satu Lagi Episod Pengkhianatan


Walaupun Kane telah menyebabkan kekalahan Undertaker di Bad Blood, tetapi Undertaker masih enggan "berlawan" dengan adiknya itu (adik kesayangan la ni).

Dan agak mengejutkan, Kane pada satu ketika telah menyelamatkan abangnya dari satu serangan daripada D-Generation X.

Mereka berdua selepas itu telah menjalinkan kerjasama secara tidak rasmi sebagai adik beradik dan sahabat. Tapi sayangnya ia tidak berkekal lama.

Di Royal Rumble 1998, dalam perlawanan Keranda (Casket Match) bagi merebut WWE Championship menentang Shawn Michaels, Kane sekali lagi mengkhianati abangnya dan membantu Shawn Michaels, juga sekali lagi.

Selepas perlawanan tersebut berakhir, Undertaker telah dikunci di dalam keranda tersebut, dan Paul Bearer dan Kane membakar keranda tersebut.

Selepas kejadian pembakaran keranda tersebut, Undertaker telah "hilang" dan tiada sebarang berita mengenai beliau sehingga beberapa bulan.

3) WrestleMania XIV: Perlawanan Pertama



Apabila Undertaker kembali ke WWE setelah kejadian dibakar dalam keranda di Royal Rumble, beliau hanya mahukan pembalasan.

Akhirnya Undertaker bersetuju untuk bertemu dengan Kane di WrestleMania XIV.

The Undertaker terpaksa mengenakan 3 "tombstone piledrivers" untuk memenangi perlawanan tersebut.
Selepas 3 pacak nisan aka "tombstone", kita mungkin menyangka yang persengketaan ini akan berakhir.

Walaubagaimanapun, ianya hanya satu permulaan kepada sejarah perbalahan mereka berdua.

4) Unforgiven 1998: The Inferno Match


Berikutan kekalahannya di Wrestlemania, pada bulan berikutnya, Kane telah sekali lagi mencabar Undertaker. Tapi kali ini dalam format perlawanan yang tidak pernah ditonton sebelum ini, iaitu Inferno Match.

Dengan di sekeliling gelanggang dikelilingi api, individu pertama yang terbakar akan kalah dalam perlawanan ini.

Setiap kali ada hempasan atau pukulan berimpak tinggi dilakukan, api akan marak menyala dan menjadi semakin membara.

The Undertaker dapat membalas dendamnya dibakar di Royal Rumble tempoh hari, dengan kali ini melakukan perkara yang sama terhadap Kane, iaitu membakarnya.

5) 1998 - 2000: Undertaker menanggalkan topeng Kane



The Undertaker dan Kane sekali lagi bekerjasama pada penghujung tahun 1998, di mana Undertaker masuk campur dalam satu perlawanan di antara Kane dan Steve Austin di King Of The Ring.

Kehendak perlawanan ini adalah, sekiranya Kane kalah dalam perlawanan ini, beliau mesti membakar dirinya sendiri.

The Undertaker sebenarnya ingin memukul Kane dengan kerusi tetapi pukulan itu tersasar dan mengenai kepala Austin, menyebabkan Austin kalah dalam perlawanan tersebut.

Undertaker kemudiannya mendakwa beliau tidak mahu adiknya dibakar dan kerana itulah beliau membantu Kane memenangi perlawanan tersebut. Ini merupakan kali pertama menampilkan Kane dan Undertaker berbaik dan bersatu dalam pasukan yang sama.

Di Summerslam 1999, Kane mahu membalas jasa Undertaker dan ingin menolong Undertaker menentang Steve Austin, akan tetapi Undertaker enggan menerima pertolongan tersebut.

Kesudahannya, Austin memenangi perlawanan tersebut dan mengekalkan kejuaraan WWE nya.

Dalam perlawanan "triple threat" yang berlangsung beberapa ketika selepas Summerslam, Kane, Undertaker dan Austin bertarung bagi merebut kejuaraan WWE, di mana Kane dan Undertaker melakukan tindanan pin serentak ke atas Austin.

Vince McMahon mengisytiharkan kejuaraan WWE dikosongkan kerana tiada juara yang sah dalam perlawanan tersebut.

Di Judgement Day: In Your House, Kane dan Undertaker bertarung bagi merebut kejuaraan yang dikosongkan itu dengan Steve Austin selaku pengadil undangan.

Austin mengakhiri perlawanan ini dengan menyerang kedua-dua Kane dan Undertaker, menyebabkan tiada siapa yang memenangi perlawanan tersebut.

Beberapa bulan selepas itu, akhirnya Undertaker mengakui yang beliau lah yang telah membakar Kane sewaktu kecil sehingga menyebabkan kecacatan dan parut pada muka Kane.

The Undertaker berjaya menanggalkan topeng Kane di Summerslam 2000.

 6) 2001: Menggondol Kejuaraan Tag Team


Pada Royal Rumble 2001, Undertaker dan Kane bersatu, menyingkirkan paling ramai peserta di dalam perlawanan Raksasa 30-man Royal Rumble.

Kane masuk pada giliran ke 6 dan berjaya menyingkirkan 11 penggusti.
Undertaker masuk pada giliran ke 22 tetapi berjaya disingkirkan Rikishi.

Mereka berdua terus bersatu pada bulan seterusnya, di mana pada 1 Februari 2001, berlangsung di Smackdown, mereka berjaya mengalahkan Rikishi dan Haku dalam perlawananan "First Blood".

Ini membawa mereka untuk bertemu dengan Dudley Boyz dan Edge and Christian dalam perlawanan "tables match" bagi merebut kejuaraan tag team WWE di acara No Way Out..

The Brothers of Destruction menguasai keseluruhan perlawanan dan hampir-hampir berjaya memenangi perlawanan tersebut sebelum diganggu oleh Rikishi dan Haku.

Undertaker and Kane berjaya memenangi kejuaraan tag team WWE buat kali pertama apabila berjaya mengalahkan Edge & Christian pada 19 April 2001 di siaran Smackdown.

Akan tetapi mereka telah kehilangan kejuaraan tag team tersebut kepada Two Man Power Trip (Triple H dan Steve Austin) 10 hari kemudian di acara Backlash.

Di siaran Smackdown bertarikh 9 Ogos 2001, selepas berlakunya pencerobohan WCW dan ECW (The Alliance), Kane dan Undertaker berjaya memenangi kejuaraan Tag Team WCW dengan mengalahkan Natural Born Thrillers.

Di acara Summerslam 2001, masih lagi dengan gelaran Tag Team WCW mereka, Kane dan Undertaker berjaya menewaskan Diamond Dallas Page dan mendiang Chris Kanyon seterusnya berjaya merebut kejuaraan Tag Team WWE buat kali kedua, dan menjadikan Brothers Of Destruction tag team yang pertama mendapat gelaran Unified Tag Team Champions.



7) 2002-2009 : Penyatuan dan persengketaan yang tiada penghujungnya


Sejarah Undertaker dan Kane sentiasa berterusan, di mana mereka banyak terlibat dalam pelbagai perbalahan sehingga bertahun-tahun.

Undertaker dan Kane bersatu semula selepas WWE Roster Draft berlangsung pada tahun 2002, di mana Kane dapat berdampingan di sisi Undertaker yang telah didrafkan ke Raw.

Mereka bekerjasama secara tidak rasmi semasa acara Royal Rumble 2003, dengan membantu satu sama lain menyingkirkan peserta Royal Rumble, dan Undertaker secara tidak disangka turut menyingkirkan Kane.

Di acara Survivor Series 2003, Kane (yang baru saja menanggalkan topengnya secara rasmi) telah mengganggu perlawanan "Buried Alive Match" di antara Undertaker dengan Vince McMahon.

Kane telah menanam abangnya hidup-hidup dan mendakwa Undertaker "telah selamat dikebumikan dan telah pergi buat selama-lamanya".

Dan di Wrestlemania XX, Undertaker yang dikatakan telah mati telah kembali ke WWE dengan kembali membawa gimik "Deadman" dan berjaya menewaskan Kane dalam perlawanan tersebut.



Di Royal Rumble 2005, Kane telah muncul dari dalam keranda semasa perlawanan Undertaker menentang Heidenreich, dan membantu Undertaker memenangi perlawanan tersebut.

Seterusnya pada tahun 2006 pula, Undertaker dan Kane bergabung sekali lagi untuk menentang MVP dan Mr. Kennedy.

Pada edisi Smackdown bertarikh 12 Oktober 2007,  Brothers of Destruction bergabung lagi mengalahkan WWE Tag Team Champions MVP dan Matt Hardy dalam perlawanan non-title.

Pada 4 April 2008 di siaran Smackdown, Undertaker dan Kane bertarung buat kali pertama selepas perlawanan terakhir mereka semenjak Wrestlemania XX. Walau bagaimanapun, tiada yang memenangi perlawanan ini akibat diganggu oleh La Familia. Kesudahannya, Kane dan Undertaker menghadiahkan Cekak Banting (Chokeslam) dan Pacak Nisan (Tombstone Piledriver) kepada Chavo dan Edge.

Di siaran Smackdown bertarikh 13 November 2009, selepas perlawanannya dengan Chris Jericho, Kane datang membantu abangnya dalam menghadapi Chris Jericho dan pasangannya Big Show.

The Brothers of Destruction rujuk sekali lagi pada 20 November 2009 di siaran Smackdown menentang Jeri-Show. Malangnya, perlawanan ini diisytiharkan sebagai No Contest (tiada pemenang).

8) 2010: Berakhirnya persengketaan epik ini?


20 tahun karier Undertaker di WWE nampaknya semakin hampir kepada garisan penamatnya sama ada WWE Universe suka atau pun tidak. Faktor umur memberi impak terbesar, di mana The Deadman sendiri tidak mampu menidakkannya.

Pada umur 43 tahun, 2 tahun lebih muda daripada Undertaker, Kane turut akan sampai ke penghujungnya tidak lama lagi.

Apakah cara terbaik untuk mengakhiri karier mereka berdua di WWE, di mana pelbagai jalan cerita dan pergolakan yang mewarnainya sepanjang 13 tahun ianya berlangsung?

Dengan jalan cerita "koma" nya Undertaker beberapa bulan lalu, kita dapat menyaksikan Kane berjaya mencuri "spot light" abangnya di mana Kane berjaya menguasai Undertaker di acara Night Of Champions dan Hell In A Cell baru-baru ini.

Walaupun telah mendapat bantuan dari "bapa" mereka, Paul Bearer, ternyata semangat dan kuasa spiritual yang diberi kepada Undertaker tidak bertahan lama apabila Paul kembali di sisi "The Demon's Favorite Son", Kane dan mengkhianati Undertaker di Hell In A Cell tempoh hari.

Dan apakah pula yang bakal berlaku di Bragging Rights 25 Oktober ini? Siapakah pula yang bakal dikebumikan kali ini? Dan mampukah Undertaker mengenggam semula kejuaraan Dunia yang ke lapan buatnya selepas ini? Terjawabkah segala soalan ini nanti? Atau hanya akan menimbulkan lebih banyak persoalan?

Yang pastinya, persengketaan selama 13 tahun di antara Undertaker dan Kane akan terus dikenang dalam sejarah WWE dan semua peminat di seluruh dunia....

No comments:

Post a Comment